Entry kali ni masih berkisar perjalanan Syria-Jordan-Lubnan. Tapi apa yang saya nak ceritakan ni berlaku di Syria. Syria adalah sebuah negara Islam.

Sebelum tu mari kita tengok apa yang dimaksudkan dengan 'aib?
Dalam Kamus Pelajar DBP Edisi Kedua, 'aib bermaksud  
1-hina atau malu oleh sebab sesuatu perbuatan yang tidak sopan, 
2- kesalahan; cacat.

Begini ceritanya. Hari kedua perjalanan kami di Syria ditemani 3 orang shabab(pemuda) sebagai mushrif, Ustaz Hafiz, Ustaz Adib dan Ustaz Rabbani. 'Abah' cuma pemandu kami ke destinasi, selebihnya shabab la yang menemani kami semua. Destinasi kami ke Halab, Syria. Aktiviti terakhir kami pada hari tersebut adalah membeli belah di Suq Hamidi di Halab. Semasa sessi ber'shopping' tu berlaku la perbualan ini di salah sebuah kedai baju.

Ukraine : Ustaz, boleh tak minta pakcik(pakcik tuan kedai) ni keluar sekejap
Syria : Kenapa nak suruh dia keluar?
Ukraine : Saya nak cuba baju ni.
Syria : Eh tak boleh, 'aib...
Ukraine : Hah?

Kita tinggalkan sekejap dialog tadi, sekarang kita baca pula dialog kedua. Dialog kedua ni pula berlaku pada hari pertama perjalanan kami, semasa ni Nawar, Syria. Masa ni cuma ada 2 orang mushrif, Ustaz Saufi dan Ustaz Rabbanni. Setelah selesai melawat ke tempat-tempat yang sepatutnya, 'Abah' ajak kami singgah di rumah saudaranya di sebuah kampung di Nawar. Dipendekkan cerita tuan rumah menjamu kami makan, kenyang juga. Dalam perjalanan pulang, ini yang berlaku.

Ukraine : Alhamdulillah kenyang makan roti arab tu. Saya siap tersendawa masa lalu depan tuan rumah tadi
Syria : Ye ke? 'Aib tu bagi orang arab
Ukraine : Alamak ye ke? Malunya...
Syria : Gelak kuat pun 'aib bagi orang arab.
Ukraine : Oh ok. 

Sekarang kita ke dialog ketiga. Berlaku ketika kami berada di sebuah restoran Nasi Mandi di Dimasyq. Sambil menunggu makanan tiba, sempat berbual sebentar.

Ukraine : Dekat Syria ni jarang nampak orang perempuan makan kat luar kan?
Syria : Ha'ah memang pun sebab bagi orang Syria, 'aib kalau perempuan makan di luar.
Ukraine : Serius ke ustaz?
Syria : Iye...


Syria : Kat sini, perempuan bawa kereta pun dianggap 'aib
Ukraine : Ooooo patut la jarang sangat nampak perempuan bawa kereta kat sini
Syria : Ha'ah jarang sangat.

Itu la antara situasi yang akhirnya kami menyimpulkan bahawasanya kami telah belajar "ilmu 'aib" sepanjang berada di Syria. Kalau dilihat, semua perkara tu adalah biasa dikalangan orang Malaysia. Betul kan? Tapi itulah hakikatnya di Syria. Tidak semua perkara yang pada kita adalah 'biasa' adalah 'biasa' untuk orang lain.

1-'Aib bagi seorang perempuan untuk mencuba pakaian di mana-mana kedai pakaian. Begitu sekali mereka menjaga kehormatan wanita. Kalau nak beli, ukur-ukur ala kadar saja la, tak perlu sampai di cuba terus ke tubuh badan. Mereka orang Syria jarang ada 'fitting room', sebab tu 'aib kalau nak mencuba pakaian di tengah-tengah kedai.

2- Sendawa di hadapan orang lain itu 'aib bagi orang arab. Jangan tanya kenapa sebab saya sendiri tak tahu apa jawapannya. Mungkin ada orang yang tahu, boleh la kongsikan. Saya cuma terfikir, mungkin kurang beradab sendawa di hadapan orang lain. Tapi kalau kentut, tak 'aib pula bagi mereka. Terbalik dengan orang Malaysia. Di Malaysia kentut di hadapan orang adalah lebih memalukan(kadang-kadang teramat memalukan) dari sendawa di hadapan orang.

3- Gelak dengan kuat meng'aibkan. Kalau difikir, memang meng'aibkan pun gelak kuat-kuat. Mengganggu ketenteraman orang lain dan selalunya bila dah gelak kuat tu bunyinya pun jadi buruk. Sakit telinga orang yang mendengarnya.

4- 'Aib jika orang perempuan makan di kawasan yang terbuka. Begitu sekali mereka memelihara kehormatan wanita. Ada sesetengah restoran di sana menyediakan tempat khas untuk orang perempuan dan mereka yang berkeluarga. Bagus juga begitu. Maklum saja la bila dah makan tu, macam-macam aksi yang boleh terjadi. Selalunya orang perempuan Syria akan beli makanan dan bawa pulang, makan di rumah.

5-'Aib kalau orang perempuan memandu kereta. Entah la apa alasan mereka. Mungkin bagi mereka, memandu itu kerja orang lelaki bukan kerja orang perempuan. Ada sesiapa tahu kenapa?

Berbalik kepada definisi 'aib menurut kamus dewan, 'hina atau malu oleh sebab sesuatu perbuatan yang tidak sopan'. Pendek kata, semua perkara-perkara di atas ada kaitan dengan kesopanan. Sebab tu la mereka katakan 'aib untuk perkara-perkara di atas. Kesopanan adalah sangat dituntut dalam kehidupan setiap insan. Lebih-lebih lagi kepada kaum hawa, kesopanan adalah satu keperluan yang sangat penting dalam hidup mereka. Tanya la pada mana-mana agama sekali pun, semua agama menuntut untuk berlaku sopan.

Semenjak kejadian-kejadian di atas, kami paling terkesan dengan gelak yang kuat. Setiap kali gelak / ketawa, pasti teringat peristiwa-peristiwa di atas, 'AIB. Ada bagusnya, sebab setiap kali gelak kuat, ada saja yang berbunyi / berkata " 'aibbbb". Maka serta merta senyap. Itu salah satu pelajaran yang kami dapat di bumi Syam.


Daripada Saiditina Aisyah, katanya : "Tidak pernah walaupun sekali aku melihat Rasulullah Sallallahu'alaihiwasallam berlebihan ketawa hingga ku lihat anak lidahnya. Tawa beliau hanyalah berupa senyuman." (Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Al-Baghawy dan Ahmad).


*** 'Ukraine' merujuk kepada salah seorang daripada kami berlima yang datang ziarah ke bumi Syam
       'Syria' merujuk kepada salah seorang shabab yang sedang menuntut di bumi Syam

3 comments:

Anonymous said...

aibbbb...andai benar2 dipraktiskan , diri akan menjadi mulia dgn sifat2 terpuji..

halialengkuas

norain said...

itu la syria cuba sampaikan pada kita semua...tp berapa ramai kah yg terkesan???atau sekadar terkesan di bibir dgn perkataan 'aibbb tp hati jauh sekali...

betulkan halialengkuas?

norain said...
This comment has been removed by a blog administrator.