Assalamualaikum w.b.t
Sudah lama tak baca blog-blog orang lain. Hari ni sempat juga 'menyelak2' blog mereka. Saya terjumpa 1 kisah menarik. Entry ni milik Ustaz Hasrizal. Entry asal di sini. Penuh bermakna entry ni. Tapi mungkin tak semua orang faham maksud tersirat disebalik cerita ni. Terima kasih Ustaz Hasrizal atas perkongsian ni.
**************************************************************************************
ABU SAIF @ www.saifulislam.com“Mother knows best!” itulah slogannya.
Zaman berzaman, Mother Gothel memberitahu Rapunzel kata-kata keramat ini.
Dan setelah Rapunzel itu ‘berhutang hidup’ dengan Mother Gothel yang memberinya makan dan minum, kata-kata itu memang masuk ke logik fikiran Rapunzel.
“Ibu, mengapa saya tidak boleh ke luar sana?” tanya Rapunzel semasa rambut cantiknya disikat lembut oleh si ibu penyayang.
“Oh sayang, di luar sana amat berbahaya. Ada ramai manusia dengki, mementingkan diri sendiri, dan merbahaya untuk kamu. Tinggallah kamu di sini, kerana ia yang terbaik buatmu, nak!” kata-kata Mother Gothel sungguh berbunyi mithali.
Tetapi Rapunzel itu manusia.
Setelah sekian lama duduk di dunia makam tingginya di menara itu, Rapunzel melihat bulan penuh. Masih melihat bulan sabit. Berganti-ganti. Sekali sekala nampak mercun roket meletup indah di angkasa. Menghias buana. Rapunzel tahu, dunia di luar sana lain ceritanya.
Tingkap kecil binaan Mother Gothel di bilik Rapunzel itu adalah untuk membuktikan dirinya masih manusia. Masih memberi ruang nafas dan pandang jauh buat Rapunzel. Biar pun hakikatnya Rapunzel sedang dikurung. Dipenjara. Dan pandangan jauh si anak dara itu dijadikan ‘gula-gula’ memujuk anaknya bahawa dia sedang menikmati dunia, biar pun dari pandangan luar, Rapunzel sebenarnya hidup dalam tahanan.
Dipenjara.
Oleh ibunya sendiri.
Ibu yang lebih mengetahui.
Rapunzel terus membesar.
Nalurinya berkembang.
Fitrahnya mencari.
Flynn Rider muncul.
Flynn Rider dimomok sebagai perompak. Tamakkan tiara Rapunzel. Berniat jahat. Pengganas. Penjenayah.
Dipropagandakan oleh Mother Gother sendiri di empat penjuru negeri.
Anda tontonlah sendiri RAPUNZEL: THE TANGLED TALE.
Anda tahu bahawa ia bukan Hikayat Jerman.
Ia kisah kampung halaman kita sendiri.
Wahai Rapunzel, slogan Mother Knows Best itu jangan ditelan bulat-bulat.
Ia berperisa gula.
Hakikatnya racun pembodohan yang cuba menggula-gulakan kamu.
Masakan selepas 50 tahun, kamu masih percaya dengan nasihat Mother Gothel kepada ‘kanak-kanak yang diculik’ itu?